Musibah Diundang atau Tidak Diundang
Apa sahaja musibah yang tidak kita sukai, Islam mengajar kita berdoa dan berusaha mencegahnya. Bukan berdiam diri dan mengharap kosong di atas angin begitu sahaja.
Jika Allah takdirkan sesuatu musibah terjadi ke atas diri kita, ia akan terjadi juga. Usah peningkan kepala. Kecilkan risikonya.
Tunjukkan kepada Allah SWT bahawa kita telah mencurahkan doa dan usaha dalam kudrat seorang hamba yang serba terbatas..
Musibah itu ada dua jenis. Ada yang datang ‘diundang’ dan ada yang datang ‘tidak diundang.’
Jika musibah tetap terjadi meskipun kita sudahpun mengambil langkah pencegahan dan langkah berhati-hati, ianya suatu musibah ‘tidak diundang’. Sudah tentu rahmatnya besar di sisi Allah. Keadaan ini lebih baik daripada gagal membuat jangkaan dan mencegah datangnya musibah, kerana risiko berlakunya musibah pada bila-bila masa jauh lebih besar. Rasa tidak tenang lebih kerap hadir.
Kecilkan Risiko
Sebelum bernikah, kita sepatutnya sudah bijak membaca kriteria pasangan yang berpotensi untuk curang setelah bernikah. Selalunya dia seorang yang:
Gatal.
Suka mengurat.
Berkawan dengan ramai pasangan tanpa urusan.
Selalu SMS dan call pada perkara yang tidak penting.
Selalu bergurau hendak bernikah ramai.
Asyik chatting dan facebook dengan pasangan bukan mahram.Tanpa urusan munasabah.
Jika kita sendiri memilih pasangan yang berpotensi untuk tidak setia, kemudian, apabila kita menjadi suami atau isterinya, dia bermain kayu tiga, maka kita sendirilah yang sebenarnya mengundang masalah itu.
Bukankah Allah SWT sudahpun memberitahu kita, banyak sekali musibah dalam hidup ini bersumber daripada perbuatan kita sendiri? Kita yang mengundangnya.
Minimumkan Musibah
Langkah pencegahan dan membuat jangkaan bukanlah bertujuan untuk hidup tanpa masalah. Mana ada hidup tanpa masalah? Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meminumkan musibah dan masalah, terutamanya akibat sikap dan kesalahan kita sendiri.
Ramai pasangan boleh terima apapun kekurangan suami atau isterinya. Dia sanggup berada di sisi pasangan walau apapun terjadi kepadanya. Tidak kira pasangannya jatuh miskin, sakit teruk, dimusuhi, dibebani hutang, difitnah atau apa sahaja berlaku ke atasnya, dia terus setia.
Cuma satu, ramai suami atau isteri lebih sanggup kehilangan pasangannya jika pasangannya itu mempunyai kekasih yang lain. Sebelum masalah besar ini timbul dan kesannya berlarut-larut dalam seluruh baki usia, kita mesti berhati-hati melangkah.
Jika ia berlaku kerana lalainya kita membuat jangkaan yang tepat ketika dalam tempoh pemilihan, maka yang bersalah adalah diri kita sendiri. Bukan orang lain.
Syarat Suatu Yang Normal Dalam Aqad Muslim
Kita nak beli rumah dan kereta ada syarat. Nak buat pinjaman ada syarat. Nak sewakan rumah kita kepada orang lain, kita letakkan syarat yang munasabah. Bahkan dalam kebanyakan aqad kaum muslimin, ia sangat bijaksana meletakkan syarat. Ia suatu yang normal. Ia suatu sikap berpandangan jauh terhadap risiko masa depan.
Cinta lebih rasional jika ada syarat yang munasabah. Bincangkan ia sejak di fasa pertunangan untuk mengecilkan risiko keruntuhan rumah tangga pada masa depan. Mahukan cinta tanpa syarat? Okey tapi realistiklah! Islam sangat manusiawi. Sensitiviti dan kondisi individu berbeza-beza. Berbincang dan letaklah syarat yang dipersetujui bersama. Demi keteguhan masa depan.
Lihatlah, cinta Allahpun mempunyai syarat selagi kita tidak syirik kepada-Nya. Cinta dalam pernikahan juga wajar mempunyai syarat ta’liq agar melindungi pasangan daripada risiko penganiayaan.
Betapa ramai pasangan yang suka mengubat sebelum mencegah. Apabila pasangannya terbukti bermain kayu tiga, barulah dia mula mencari penyelesaian. Mereka pejamkan sahaja mata ketika masalah memberi ‘petanda awal’ untuk datang. Usaha mengubat jauh lebih sakit dan pedih daripada usaha mencegah. Mahu yang mana?
Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment